KEMALANGAN dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa memasuki laluan bertentangan. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 16 Jalan Kulai-Kota Tinggi berhadapan pintu masuk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, Samad Mian, 71, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian badannya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa ke arah Kulai tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa yang sama datang lori yang dipandu lelaki berusia 59 tahun menghala ke arah Kota Tinggi, yang cuba mengelak, namun berlanggar dengan penunggang motosikal itu.

"Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori muatan anak ayam itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 12:50 AM