MOHAMAD Che Nai (tengah) memukul kompang ketika tiba di Program Khidmat Pelanggan Daerah Kulim Mukim Sedim di Kampung Lindungan Raja, Sedim. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: Bagi menangani gejala sosial dalam kalangan golongan muda di daerah ini, Pejabat Daerah Kulim melalui semua masjid di sini akan mengadakan Program al-Quran Di Hati Ku (AQDHK) mulai esok.

Pegawai Daerah Kulim Mohamad Che Nai berkata, melalui program itu setiap hari selepas solat Maghrib, imam akan membaca satu halaman ayat al-Quran dan disertai makmum dalam kalangan orang muda.

"Imam akan membaca satu muka surat al-Quran setiap hari dan ia hanya mengambil masa antara lima atau 10 minit sahaja.

"Program ini adalah untuk mendekatkan golongan muda untuk ke masjid dan ia dilakukan kerana kami melihat isu sosial di kalangan anak muda terutama orang Melayu di sini amat membimbangkan.

"Gejala penagihan dadah kalangan belia Melayu misalnya sehingga kini membabitkan lebih 500 orang, sebagai langkah awal caranya ialah mendekatkan mereka dengan masjid supaya dapat mengisi masa dengan perkara berfaedah," katanya selepas pelancaran Kaunter Khidmat Pelanggan Daerah Kulim di Dewan Kampung Lindungan Raja, Sedim, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap langkah itu dapat mengurangkan golongan muda dalam gejala sosial, di samping memberi ilmu bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat.

"Ada sesetengah orang muda yang tidak pandai membaca al-Quran berasa malu atau segan membaca dengan kuat.

"Melalui konsep ini hanya imam sahaja yang membaca diikuti oleh orang ramai dan lama kelamaan mereka akan dengan sendirinya sentiasa membaca al-Quran dan mengkaji maksudnya," katanya.

Mohamad berkata, untuk program peringkat awal ini pihaknya akan kerjasama dengan pihak masjid melalui pengedaran borang kepada waris di kariah masing-masing untuk menghantar nama anak mereka untuk belajar al-Quran.

"Program ini akan mengambil masa lama sedikit, namun kami yakin ia akan mendapat sambutan daripada orang ramai dan majlis pelancarannya akan dilakukan dalam masa terdekat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 10:53 PM