Anggota Bomba memeriksa pondok parkir di Hock Lee Centre Padungan Kuching, yang terbakar hari ini. - Foto Ihsan Bomba
BERNAMA

Kuching: Kebakaran beberapa pondok bayaran parkir kenderaan di sekitar bandar raya ini sejak kebelakangan ini, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu khianat dengan api atau bahan letupan.

Menurut Abang Ahmad, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada waktu malam ketika tiada pemantauan terhadap pondok berkenaan.

“Semua pondok dirosakkan dengan dilemparkan mercun dan bahan letupan menyebabkan cermin pondok pecah dan dua pondok terbakar," katanya.

Menurut Abang Ahmad, 17 pondok seumpamanya dilaporkan dirosakkan atau hangus.

Pondok yang terbabit ialah di Stutong, Jalan Ban Hock, Lorong Abdul Rahim, Padungan, King Centre, berhampiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang terbakar, RH Plaza, Taman Hui Sing.

Pondok lain, Twin Tower berhampiran pejabat Astro, Simpang Tiga (hangus), Jalan Chan Bee Kiew dan Yoshi Square, pondok di kaunter DBKU, Jalan Rubber-Nanas dan Jalan Green.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima lapan kes kebakaran pondok bayaran parkir kenderaan dalam tempoh tiga hari, bermula 29 Januari sehingga hari ini.

Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata satu kes kebakaran pondok itu berlaku pada 29 Januari dan masing-masing empat dan tiga kes semalam dan awal pagi hari ini.

Beliau berkata, tujuh daripada kes kebakaran itu berlaku pada awal pagi antara 12.06 malam dan 5.07 pagi, kecuali satu kes pada 10.46 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:58 PM