Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Tiga rakan terselamat daripada hukuman gantung sampai mati selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah pada 2013.

Noryanti Md Noor, 31, Mohd Nizam Mohamad Desa, 38, dan Muhamad Ridool Omar, 37, didapati tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah jenis heroin dan morfin seberat 69 gram.

Pesuruhjaya Kehakiman SM Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan ketiga-tiga tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Noryanti diwakili peguam RSN Rayer manakala Mohd Nizam diwakili peguam Nik Mohamad Ikhwan Nik Mahmud dan P Ravee mewakili Muhamad Ridool.

Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzi Mohd Yusof.

Sebaik keputusan itu dibacakan, ketiga-tiga rakan terbabit berpelukan kegembiraan dengan ahli keluarga yang hadir di mahkamah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 5:57 PM
Noryanti bersama Mohd Nizam (empat, kanan) dan Muhamad Ridool Omar 37, (dua, kanan) dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Abdullah Yusof