DR Aini bertukar dokumen dengan Sheikh Ahmad Dasuki.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan kerjasama dengan syarikat Muslim Best Marketing (M) Sdn Bhd membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sistem serta manual halal.

UPM menerusi Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) akan menjalankan penyelidikan berkenaan.

Muslim Best diberi tanggungjawab Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melaksanakan kilang Anchor-Vendor yang mengeluarkan produk mi segera, biskut, kerepek ubi, air minuman dan jus.

Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, kerjasama strategik itu memberi faedah kepada UPM dan Muslim Best dalam merealisasikan bidang penyelidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Ini memberi peluang kepada pihak kami berkongsi kepakaran dan teknologi yang sedia ada di UPM antaranya kemudahan makmal untuk menganalisis makanan, pelabelan produk makanan dan analisis autentikasi halal serta melaksanakan fisibiliti pasaran halal.

“Muslim Best adalah syarikat Bumiputera yang mengusahakan empat kilang pengeluaran produk halal di Pedas, Negeri Sembilan berdasarkan konsep Anchor-Vendor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UPM dan Muslim Best di UPM, Serdang, baru-baru ini.

UPM diwakili Dr Aini sementara Presiden Muslim Best Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad mewakili Muslim Best.

Turut hadir, Pengarah IPPH UPM Prof Datuk Dr Mohd Yazid Abd Manap dan Timbalan Presiden Muslim Best Datuk Nik Izani Nik Ibrahim.

Dr. Aini berkata, beliau berharap melalui hubungan kerjasama ini lebih banyak program R&D dapat dilaksanakan bagi manfaat kedua-dua institusi.

Sementara itu, Sheikh Ahmad Dasuki berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada industri mewujudkan pembabitan bersama institusi pengajian tinggi (IPT) dalam perkongsian maklumat dalam pengeluaran produk halal.

“Syarikat kami melaksanakan kilang Anchor-Vendor yang mengeluarkan produk makanan dan akan menganalisis produk Anchor-Vendor menggunakan kemudahan di IPPH, UPM.

“Kedua-dua pihak akan memastikan bahan mentah, mesin, peralatan dan bahan pencuci mengikut piawaian halal yang ditetapkan oleh syariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 11:36 AM