MANGSA bot karam yang terselamat diberikan rawatan.
Nasharuddin Muhammad

Dalam seminggu ini, nampaknya terlalu banyak tragedi dan kejadian tidak diingini yang dilaporkan berlaku sama ada di laut, sungai, bukit, malah dalam pasar raya hingga mendapat liputan meluas media.

Tragedi membabitkan air bermula dengan penemuan mayat warga asing terdampar di pantai Mersing, bayi perempuan berusia 20 bulan lemas banjir di Kuantan, bayi perempuan berusia dua tahun lemas jatuh sungai di Tapah dan terakhir sebuah bot membawa 27 pelancong China karam di perairan Pulau Mengalum, Sabah.

Kejadian di bukit membabitkan seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang hilang selama enam hari ketika mendaki Bukit Broga dekat Semenyih sebelum akhirnya ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Dalam sebuah pasar raya di Semenyih pula, akibat terlalu leka mengemas barang jualan, seorang kanak-kanak perempuan yang mengikut ibunya dikatakan tersesat sebelum ditemui merayau-rayau oleh pekerja pasar raya itu lalu dihantar ke balai polis bagi mengesan warisnya.

Itu sebahagian daripada tragedi dan kejadian tidak diingini yang sempat penulis catatkan dan dalam kejadian itu juga, ada mangsa yang terselamat dan dapat meneruskan kehidupan tetapi ada juga yang kehilangan nyawa.

Itu belum dikira lagi kes membabitkan kemalangan jalan raya yang sering berlaku dan sentiasa merekodkan peningkatan setiap tahun terutama pada musim perayaan sama ada membabitkan kehilangan nyawa mahupun mengalami kecederaan termasuk parah.

Dalam hal ini, bukan niat kita mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak terhadap kejadian yang berlaku, jauh sekali untuk menyalahkan takdir, apatah lagi ketika ini, ada pihak yang mungkin masih bersedih akibat kehilangan insan tersayang.

Bagaimanapun, jika kita perhatikan, ada antara kejadian atau tragedi yang berlaku itu sebenarnya boleh dielakkan andai kata kita semua mengambil berat terhadap diri sendiri atau insan di bawah jagaan kita.

Misalnya, bagi kes membabitkan kanak-kanak yang hilang tersesat dalam pasar raya, kejadian seperti itu sebenarnya boleh dielak jika semua pihak lebih peka akan keselamatan insan di bawah tanggungjawab masing-masing.

Mujurlah kanak-kanak itu ditemui insan yang prihatin dan bertanggungjawab lalu diserahkan kepada pihak yang sepatutnya, tetapi bagaimana jika dia ditemui pihak yang tidak sepatutnya, dibawa lari dan sebagainya, sudah tentu ia akan menimbulkan masalah kepada banyak pihak.

Bagi ibu bapa kanak-kanak itu, sudah tentu sedih dan bimbang dengan kejadian yang berlaku manakala bagi pihak lain pula, mereka terpaksa menggerakkan operasi untuk mencari, mengesan dan sebagainya.

Biarpun kita memang berharap ia tidak berlaku tetapi jangan disebabkan sedikit kecuaian, ia boleh memberikan kesan berpanjangan.

Begitu juga dengan kes remaja hilang ketika mendaki Bukit Broga, kejadian seperti itu difahamkan bukan kali pertama berlaku, sepatutnya ia memberi iktibar bukan sahaja kepada si empunya diri, malah pihak lain yang turut mempunyai keinginan sama berbuat demikian.

Apa sahaja yang kita mahu lakukan, sepatutnya buatlah perancangan dengan teliti termasuk kesesuaian masa. Kita tidak mahu niat yang asalnya amat baik untuk beriadah tetapi berakhir dengan kejadian tidak sepatutnya hingga menyusahkan banyak pihak.

Begitu juga kes bot karam di perairan Sabah. Kita yakin tragedi seperti itu sebenarnya boleh dielakkan jika semua pihak lebih bertanggungjawab membuat perancangan teliti termasuk mengambil kira keadaan laut dan cuaca bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Penulis Pengarang Bisnes/IT Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 9:53 AM