TUMPUAN Cheryl kini pada suami, anak tapi masih terima undangan mengacara.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Pembabitan Cheryl Samad dalam bidang seni bukan kerana mahu mengejar populariti atau mendambakan hidup serba glamor. Niatnya mahu mencanai bakat sebagai pengacara dan pelakon malah menyifatkan itulah karier terbaik buat dirinya.

Sepanjang bergelar anak seni, pencapaian wanita berusia 37 ini sangat membanggakan terutama dalam bidang pengacaraan.

Begitu pun, sejak mendirikan rumah tangga wajahnya semakin jarang menghiasi kaca televisyen.

Jelas Cheryl, sebagai isteri dia perlu meletakkan keluarga sebagai keutamaan apatah lagi dua anaknya, Stella, 3, dan Kate, sembilan bulan, sangat memerlukan perhatiannya.

“Saya akui fokus kini pada anak dan suami. Tanpa disedari, sudah lama saya berehat sebagai pelakon.

“Terus terang, saya merindui bidang lakonan dan mahu melihat produk saya ditayangkan di TV. Bagaimanapun, masa memang tidak mengizinkan untuk saya kembali ke set penggambaran.

“Tahu sajalah penggambaran ambil masa yang sangat panjang. Saya pula jenis tidak boleh tinggalkan anak untuk masa yang lama,” katanya.

Bagaimanapun, Cheryl tidak mengetepikan tawaran pengacaraan dan masih aktif cuma bukan untuk program komersial.

Akuinya, sejak mengacara majlis korporat dan acara tertutup banyak pengalaman baru diraihnya sekali gus menjadikan dirinya lebih versatil.

“Puas mengacarakan program TV sebelum ini, agak sukar saya menukar cara ketika mengacarakan sesuatu acara.

“Jadi apabila dapat banyak peluang mengacara program tertutup dan korporat, ia beri angin baru buat saya. Tak kisahlah acara rasmi atau santai, kini lebih mudah untuk saya tukar cara pengacaraan agar sesuai dengan kehendak penganjur,” katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran portal beli-belah Section 1 baru-baru ini, Cheryl mengakui sangat gembira dipertemukan semula dengan Faizal Ismail.

Umum mengetahui dua pengacara itu cukup serasi dan pernah menjadi nadi utama program Muzik Muzik beberapa tahun lalu. Selepas sekian lama, ini kali pertama mereka bergandingan semula.

Bahkan, Cheryl tidak menolak kemungkinan ke layar TV jika ada tawaran menggandingkan mereka berdua.

“Satu daripada sebab utama saya menerima tawaran mengacarakan majlis ini adalah sebab Faizal. Saya tahu kami serasi dan selesa bekerjasama.

“Jika ada tawaran program TV untuk kami berdua, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 5:31 AM