IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


Kuantan: Penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, hilang di Pantai Cherating, di sini, hari ini.

Mangsa berusia dalam lingkungan 20-an dikatakan ke pantai itu bersama enam rakannya dan kejadian dikatakan pada 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata mangsa bersama rakannya ke pantai peranginan untuk bercuti dari Shah Alam.

"Mangsa dikatakan hilang secara tiba-tiba dipercayai ditarik ombak.

"Rakannya cuba mencari namun tidak berjaya. Mereka kemudian menghubungi polis," katanya ketika dihubungi.

Operasi menyelamat dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa penduduk kampung.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 3.49 petang.

“Satu jentera bersama lima anggota ke lokasi. Kita percaya mangsa ditarik ombak ketika mandi berdasarkan keadaan ombak besar ketika pencarian dilakukan.

"Sehingga malam tadi, mangsa masih belum dijumpai. Operasi ditamatkan sementara dan akan disambung esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2017 @ 9:22 PM