Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat mangsa yang lemas ketika mandi di Pantai Pandak berhampiran Kuala Ibai, di sini. Pix Ihsan Bomba
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Mayat Ketua Unit Pengkalan Hadapan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Chendering, Mohd Farid Abdullah, 45, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Pandak berhampiran Kuala Ibai, di sini, ditemui 6.42 petang tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Elyas Hussin berkata, mayat Mohd Farid ditemui pasukan mencari dan menyelamat di dasar laut kira-kira 300 meter dari pesisir pantai.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Sabah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan JBPM negeri termasuk Unit Skuba, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Perikanan negeri ditamatkan," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, Mohd Farid dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2017 @ 8:53 PM