Keadaan kenderaan yang merempuh pembahagi jalan di Kilometer 199, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara yang mengakibatkan dua beranak terbunuh. Gambar Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Dua beranak maut selepas tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dinaiki mereka dalam kejadian di Kilometer 199, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Noor Aini Hamdan, 28, dan anak lelakinya Muhammad Aisy Aryan Mohd Taufik, 2, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan manakala pemandunya terselamat.

Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang MPV dipandu suami mangsa yang dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Kuala Lumpur tiba-tiba meletup.

"Susulan itu MPV terbabit merempuh pembahagi jalan mengakibatkan isteri dan anaknya tercampak keluar.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala pemandunya tidak cedera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian meragut dua nyawa itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2017 @ 4:44 PM