FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Jambatan sementara menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli, di Kampung Pulau Setelu, di sini, masih ditutup.

Ini berikutan jambatan itu masih ditenggelami air Sungai Nenggiri sejak lima hari lalu dan air belum surut sepenuhnya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mohd Yussalmi Mohd Yusoff, berkata pengguna jalan itu boleh menggunakan Jalan Gua Musang-Kuala Krai untuk ke Jeli dan sebaliknya.

Katanya, penduduk di kampung berhampiran boleh menggunakan khidmat bot tambang yang disediakan penduduk tempatan.

"Jambatan itu tenggelam, Isnin lalu, dan bergantung kepada keadaan hujan untuk kembali seperti sediakala.

"Kemungkinan besar juga jambatan sementara itu tidak boleh digunakan kepada semua kenderaan walau air sungai surut nanti," katanya di sini, hari ini.

Katanya, jambatan itu terdedah kepada kerosakan lebih teruk dan mengambil masa bagi kerja membaik pulih semula selepas ini.

"Kita nampak di kedua-dua tebing kepala jambatan itu juga runtuh dan membahayakan nyawa pengguna.

“Kerosakan lain dapat kita lihat secara keseluruhannya apabila air sungai itu surut nanti sama ada malam ini atau atau esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 2:54 PM