GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup masuk pelbagai produk ubat-ubatan dan barangan lain bernilai RM80,000 berhampiran perairan Sungai Haji Kuning, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, anggota APMM turut menahan juragan bot berkenaan berusia 17 tahun.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi APMM Tawau, Komander Maritim Romli Mustafa berkata, berdasarkan maklumat awal, pasukan APMM mengesan dan menahan bot kargo yang mencurigakan disyaki menuju masuk ke daerah ini dari Sungai Haji Kuning.

"Hasil pemeriksaan menemui pelbagai produk ubat-ubatan dan beberapa muatan lain seperti perisa makanan dan gula merah.

"Jumlah rampasan termasuk bot enjin sangkut bernilai RM80,000," katanya di sini, hari ini.

Romli berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang dokumen yang membolehkan barang itu dibawa masuk ke daerah ini.

"Susulan itu, juragan bot kargo warga tempatan bersama barang rampasan dibawa ke jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Akta Kastam 1967.

"Kita mengharapkan agar pihak penguatkuasa yang berkaitan dan orang ramai bekerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat yang menyalahi undang-undang khususnya di perairan Tawau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 8:29 PM