Lelaki berusia 31 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas enam pertuduhan mengedar dadah. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my


Melaka: Lelaki berusia 31 tahun berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas enam pertuduhan mengedar dadah seberat 55.155 kilogram awal bulan ini.

Pertuduhan terhadap Tai Kah Yuen, 31, yang turut dikenali sebagai Ah Tai dibacakan di depan Majistret Analia Kamaruddin namun tidak ada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki terbabit.

Tai yang berasal dari Bukit Beruang didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Malinja, Bukit Baru, 2.20 pagi, 15 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban dan Norshazwani Ishak manakala tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan.

Analia kemudian menetapkan 2 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 5:26 PM