Susunan Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Gembira karier lakonannya berkembang sehingga ke Hollywood, pelakon Deepika Padukone teruja menantikan reaksi penonton terhadap filem XXX: The Return of Xander Cage.

Filem itu pertama kali menggandingkan pelakon berusia 31 tahun itu dengan bintang Hollywood iaitu Vin Diesel dan Samuel L Jackson.

Tidak hanya teruja menanti reaksi penonton, Deepika turut berkongsi perasaan gembira saat dapat beraksi di sisi Diesel.

“Saya sangat-sangat teruja apatah lagi dapat beraksi di sisi Diesel. Pastinya saya gembira kerana dapat bergandingan dengan lelaki yang begitu popular.

“Walaupun kadang-kadang gementar, saya bangga kerana bukan semua orang berpeluang beraksi di layar Hollywood apatah lagi di samping Diesel,” katanya.

Filem yang turut dibintangi bintang aksi Hong Kong, Donnie Yen kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Menerusi filem ini, Deepika berharap dapat memberikan sesuatu yang menarik mengenai budaya dan tradisi negaranya.

Dalam pada itu, Deepika turut mencipta kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak disangka-sangka dalam sebuah program bual bicara terkenal Amerika Syarikat (AS) iaitu The Ellen DeGeneres.

Dalam program itu, dia yang pertama kali tampil memberitahu membayangkan untuk mempunyai ‘anak yang luar biasa’ dengan Diesel.

Perkara itu diluahkannya selepas berkongsi mengenai pengalaman membina keserasian bersama lelaki berbadan sasa itu menerusi filem berkenaan.

Walaupun pengacara program, DeGeneres cuba membidas dengan berkata, tidak ada percintaan berlaku di antara mereka dan bagaimana perkara itu boleh terjadi.

Deepika menyatakan, semuanya itu hanyalah bayangan yang bermain di fikirannya saja.

Selain ditayangkan di AS, program itu juga turut disiarkan di India.

“Itu hanya apa yang saya bayangkan. Mungkin kerana kami berjaya membina keserasian bersama menyebabkan saya berfikiran sehingga ke situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2017 @ 9:56 AM