Anggota Bomba dan Penyelamat membawa turun mangsa yang cedera dari puncak Gunung Baling. FOTO Safuri Kamaruddin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Khairul Azim Mohamad, 25, cedera di kaki kanan akibat tergelincir di Gunung Baling, 2 petang tadi.

Mangsa berasal dari Jitra, di sini, dikatakan tergelincir ketika menuruni puncak gunung itu dari ketinggian 300 meter.

Ketua Balai Jabatan Bomba Dan Penyelamat Baling, Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias berkata, pihaknya menerima panggilan 2.12 petang dan tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.

Katanya, seramai 15 anggota penyelamat mendaki gunung itu terdiri anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, team penyelamat Kedah(SARKED) dan Sahabat Bomba Baling serta Pasukan Bomba Sukarela Belia (PBS) 4B Daerah Baling.

"Difahamkan mangsa mendaki gunung itu bersama tiga rakan pada jam 5 pagi sebelum terjatuh ketika menuruni gunung berkenaan.

"Operasi menyelamat berjalan lancar meskipun cuaca hujan dan licin untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung," katanya ditemui di sini.

Mohd Sufian berkata, operasi menyelamat mengambil masa sejam dan mangsa dibawa turun ke kaki gunung 3.30 petang sebelum dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan.

Katanya, mangsa turut diberi rawatan awal di puncak gunung itu oleh anggota bomba kerana cedera kaki kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 6:30 PM