Dua lagi mayat mangsa bot pancung yang karam ditemui pagi tadi. FOTO ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Mersing: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhubung kes bot pancung yang karam Isnin lalu, menemukan dua lagi mayat.

Mayat dua lelaki itu ditemui terapung di laut kira-kira lima batu nautika Tanjung Sedili, Kota Tinggi, 9.15 pagi dan 9.30 pagi tadi selepas operasi SAR yang ditangguhkan malam tadi disambung pada 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, kedua-dua mayat itu ditemui nelayan tempatan sebelum pasukan SAR membawanya ke jeti APMM Tanjung Sedili untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk bedah siasat," katanya.

Jumlah mayat mangsa yang ditemui setakat ini ialah sembilan lelaki dewasa dan tujuh wanita dewasa.

Cyril berkata, setakat ini juga enam mangsa ditemui selamat iaitu lima lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.

Katanya, empat daripada mereka ditemui di sekitar kawasan Tanjung Leman di sini, semalam, manakala dua lagi ditemui pada hari kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 11:55 AM