Southampton: Pengurus Chelsea Jose Mourinho mendakwa wujud satu ‘kempen’ menyebabkan pemainnya dihukum kerana menjatuhkan badan dengan sengaja selepas pasukannya seri 1-1 dengan Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris.

Selepas Eden Hazard memadam gol pendahuluan Sadio Mane buat Southampton kelmarin, pengadil Anthony Taylor melayangkan kad kuning kepada pemain Chelsea, Cesc Fabregas selepas dia merebahkan badan berikutan terjahan Matthew Targett pada babak kedua.

Ulang tayang televisyen membayangkan pengadil melakukan kesilapan ketika Targett jelas bersentuhan dengan Fabregas selepas terjatuh, namun Mourinho berasakan ia lebih daripada itu.

Beliau menyenaraikan insiden terdahulu apabila pemain Chelsea dikenakan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badan termasuk membabitkan Diego Costa menentang Burnley pada minggu pertama musim ini.

Merebahkan badan dengan sengaja turut menjadi topik interviu selepas perlawanan ketika menang 2-0 ke atas Hull City awal bulan ini, yang menyaksikan pertahanan England, Gary Cahill terpelanting dengan teruk sekali.

“Kenapa ia tidak penalti? Kerana pengadil melakukan kesilapan,” jelas Mourinho. “Setiap orang melakukan kesilapan, beliau melakukan satu kesilapan. Satu kesilapan besar, tapi tetap satu kesilapan.

“Saya fikir ia seperti satu kempen. Pada perlawanan pertama, Diego menerima kad kuning apabila sepatutnya pemain pertahanan lawan dilayangkan kad merah dan sepakan penalti di Burnley.

“Beberapa bulan kemudian, Fabregas menerima kad kuning. Hukuman berganda ini sukar dipercayai. Anda patut menerima sepakan penalti dan mungkin memenangi perlawanan. Anda tidak mendapat penalti sebaliknya menerima kad kuning.

“Kami menerima kad kuning yang tidak sepatutnya kerana simulasi. Saya tidak menyatakan semuanya, tapi kami bercakap mengenai keputusan genting. Sebagai contoh, perlawanan menentang Hull City, adakah anda fikir perkara paling penting Cahill atau Filipe Luis hampir patah kaki?”

Perlawanan Chelsea pada Hari Boxing turut menampilkan kontroversi simulasi dengan pengurus West Ham Sam Allardyce menuduh Branislav Ivanovic terlalu mudah menjatuhkan badan ketika pasukannya tewas 0-2. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:22 AM