Madrid: Penyerang Sepanyol, Fernando Torres bersetuju kembali ke Atletico Madrid secara pinjaman dari AC Milan hingga hujung musim 2015-16, tujuh setengah tahun selepas meninggalkan kelab asalnya, umum kelab juara La Liga itu semalam.

Torres, 30, bergelut untuk menjaringkan gol sejak menyertai Chelsea dari Liverpool pada 2011 dan berpindah ke Milan secara pinjaman Ogos lalu.

Chelsea dan Milan bersetuju memuktamadkan perpindahan secara kekal Sabtu lalu, memberi peluang kepada Torres untuk dipinjamkan ke Atletico dan dia berharap menyemarakkan semula kariernya di bawah jurulatih berpengaruh Diego Simeone.

“Akhirnya pulang ke kampung halaman. Terima kasih kepada semua kerana menjadikan impian ini satu kenyataan,” tulis Torres dalam akaun Twitter miliknya selepas Atletico mengesahkan perkara itu di bawah tajuk besar ‘Torres kembali’ dalam laman web rasmi www.clubatleticodemadrid.com).

Perjanjian itu bagaimanapun tertakluk kepada Torres melepasi ujian perubatan dan akan dimuktamadkan pada 5 Januari apabila pasaran perpindahan Itali dibuka, jelas Atletico.

“Penyerang dari Fuenlabrada kembali ke kampung halamannya, tempat dia berlatih sebagai seorang pemain bola sepak dan muncul seorang daripada pemain bintang mereka,” menurut kelab itu.

Pemenang Piala Dunia dan dua kejuaraan Kejohanan Euro bersama Sepanyol, Torres menyertai Atletico pada usia 11 tahun.

Dikenali sebagai ‘El Nino’, dia melakukan penampilan sulung pasukan utama ketika berusia 17 tahun pada 2001 apabila kelab kedua Madrid itu beraksi dalam divisyen dua dan dilantik sebagai kapten dua tahun kemudian, seterusnya menjadi pemain pujaan peminat.

Apabila dia meninggalkan kelab itu untuk menyertai Liverpool pada Julai 2007, selepas menyumbat 91 gol dalam 244 penampilan, dia berjanji akan pulang dan mungkin melakukan penampilan sulungnya menentang penyandang juara Real Madrid pada perlawanan pertama, pusingan kedua Piala Raja Sepanyol 7 Januari ini.

Selain mencipta karier gemilang bersama Sepanyol, Torres turut membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara pada 2012 dan Liga Europa setahun kemudian. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:21 AM