Omar Bakhtiar (kanan) bersama Ashazarul Hairi menunjukkan motosikal curi yang ditemui. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Bagan Serai: Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan polis kelmarin kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian motosikal di daerah Kerian sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, peningkatan ketara kecurian motosikal sejak Disember hingga hari ini menyebabkan pihaknya menubuhkan satu pasukan khas iaitu Team Lejang diketuai Inspektor Ashazarul Hairi Ab Hamid menjalankan operasi mengesan suspek.

Katanya, hasil operasi, tujuh suspek berusia antara 15 hingga 35 tahun diberkas dan lima motosikal yang dipercayai dicuri ditemui.

"Semua suspek yang juga penagih dadah tegar bergerak secara sendirian dan motosikal yang dicuri digunakan sebagai pengangkutan utama untuk membeli bekalan dadah.

"Dalam tangkapan itu, seorang remaja berusia 15 tahun yang tidak bersekolah mengaku mencuri dua Modenas Kriss dengan salah satu dileraikan dan digunakan sebagai alat ganti," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hari ini.

Omar Bakhtiar, suspek sudah dihadapkan ke mahkamah dan dua daripada mereka dijatuhkan hukuman manakala selebihnya masih dalam tindakan mahkamah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 3:25 PM