SEORANG anggota Tentera Udara Indonesia melihat keluar pesawat ketika operasi mencari dan menyelamat di perairan Laut Jawa, semalam.

Trangerang : Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ada meminta kebenaran untuk naik ke ketinggian 38,000 kaki di udara dari paras 32,000 kaki namun permintaan itu ditolak oleh Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC).

“Ketika itu, pesawat terbang pada ketinggian 32,000 kaki dan ke kiri sebelum naik ke 38,000 kaki. Tetapi untuk naik ke 38,000 kaki, belum diizinkan kerana di atasnya masih ada pesawat dan kemudiannya terputus hubungan,” kata Pengarah Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan, Djoko Murjatmodjo di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, di Indonesia.

Beliau yang dipetik dari Kompas.com berkata, pada awalnya, pesawat sempat meminta membelok ke kiri untuk menghindari awan dan dibenarkan, namun selepas itu permintaan juruterbang naik ke paras ketinggian baru ditolak.

“Berdasarkan radar cuaca, keadaannya memang tidak elok. Ada awan kumulunimbus,” kata Djoko.

Pesawat QZ8501 yang berlepas dari Surabaya menuju Singapura itu terputus hubungan jam 7.55 pagi waktu tempatan semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:15 AM