Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tiada kelibat juara bertahan Andrea Guardini (gambar) dalam mempertahankan jersi kategori pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 hujung bulan depan.

Pelumba dari Itali yang juga pemenang kategori itu pada 2011 dan 2012 kini menyertai pasukan baru UAE Abu Dhabi selepas meninggalkan Astana Pro Team yang diwakilinya sejak 2013.

“Matlamat setiap pasukan berbeza, jadi Guardini yang sudah memenangi 18 peringkat perlumbaan di LTdL tidak akan mempertahankan jersi kategori pecut kali ini. Kami masih mengkaji barisan pelumba pecut yang akan mencabar kali ini kerana senarai lengkap masih belum diterima.

“Bagaimanapun antara pelumba pecut handalan yang sah beraksi adalah juara peringkat edisi 2016 iaitu Andrea Palini (Androni Giocattoli-Sidermec) dan Jakub Mareczko (Selle Italia),” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal.

Bagaimanapun ia dilihat dari sudut positif terutamanya dengan kemunculan pelumba pecut yang baru dapat diketengahkan pada saingan yang berstatus 2HC dalam kalendar Jelajah Asia itu.

“Pasti akan muncul permata baru. Ia juga peluang yang bagus untuk pelumba tempatan, contohnya Anuar Manan memenangi gelaran Raja Pecut pada 2010. Hingga kini dia pelumba pertama Asia melakukannya sejak edisi pertama pada 1996,” ujarnya.

Terdahulu Bank Simpanan Nasional (BSN) menaja jersi kategori pecut berwarna “teal” bernilai RM1.3 juta.

Saingan kategori pecut menyaksikan pelumba yang terbanyak mengumpul mata menerusi zon pecutan dan pungutan mata di garisan penamat akan dinobat sebagai pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:56 AM
Skip this ad x