PENUNJUK perasaan menyokong jallikattu saling berpaut untuk menghalang polis mengusir mereka dari Pantai Marina. - AP
AP

New Delhi: Penggemar sukan tradisional menundukkan lembu jantan di India menyerang sebuah balai polis dengan membaling batu dan membakar beberapa kenderaan kerana berang diusir dari pantai tempat mereka memprotes pengharaman permainan itu sejak minggu lalu.

Permainan dinamakan jallikattu itu menyaksikan lembu jantan dilepaskan dalam kumpulan orang ramai yang mengejar dan cuba menunggangnya.

Permainan itu popular di Tamil Nadu tetapi diharamkan mahkamah tertinggi India pada 2014 kerana dianggap menzalimi haiwan.

Acara jallikattu bagaimanapun dibenarkan diteruskan menerusi perintah eksekutif, Ahad lalu, tetapi penunjuk perasaan tetap mengadakan bantahan di pantai berkenaan untuk mendesak pengharaman itu terus dihapuskan.

Anggota polis yang hanya dikenali sebagai Balakrishnan berkata, pihaknya mengusir ribuan penunjuk perasaan - dianggarkan seramai 7,000 orang - di pantai Marina yang enggan meninggalkan kawasan itu di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu.

Jalan ke pantai berkenaan turut ditutup polis. Penunjuk perasaan yang hanya dikenali sebagai Gayatri mendakwa polis menggunakan gas pemedih mata dan cota untuk mengusir mereka.

Rangkaian berita CNN News India melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang cedera dalam pertempuran dengan polis.

Polis juga bermasalah mengusir hampir 2,000 orang yang sehingga lewat semalam membentuk rantai manusia malah ada antara mereka berdiri di dalam air dan enggan berganjak.

Sementara itu, Press Trust of India melaporkan, dua lelaki mati ditanduk lembu manakala puluhan lain cedera di Rapoosal dalam acara jallikattu, kelmarin.

Aktivis hak asasi haiwan menyelar jallikattu sebagai menzalimi haiwan yang kerap ditabur serbuk cili dan mengalami kecederaan termasuk patah ekor ketika cuba ditarik orang ramai yang mahu menunggang mereka.

Perintah eksekutif yang dikeluarkan membenarkan sukan itu diteruskan tetapi hanya berkuat kuasa selama enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 8:54 AM