SUKARELAWAN bermesra bersama kanak-kanak di Pos Belatim.
PETUGAS IMARET memberi pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk.
SUKARELAWAN membasuh rambut kanak-kanak Orang Asli menggunakan syampu kutu.
PESERTA program bergambar kenangan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Keprihatinan terhadap mereka yang terkesan setiap kali musim tengkujuh melanda khususnya di negeri pantai timur pada hujung tahun terutama di kawasan pedalaman Orang Asli, kelab Kay Adventure 4X4 mengadakan program Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Offroad & Charity Siri 4/2016 di Pos Belatim Gua Musang, Kelantan.

Ia juga susulan daripada usaha murni kelab itu sebelum ini untuk membantu masyarakat pedalaman terutama Orang Asli.

Terdahulu, Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan ini diadakan tiga kali iaitu Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 1/2013 ke Pos Hau, Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 2/2014 ke Pos Gob dan Misi Bantuan Kemanusiaan Gabungan Siri 3/2015 ke Pos Bihai yang semuanya di daerah Gua Musang, Kelantan.

Tahun lalu, Pos Belatim dipilih menjadi lokasi seterusnya bagi program itu. Pos Belatim yang juga kawasan penempatan masyarakat Orang Asli menjadi tumpuan misi itu dengan objektif utama menghulurkan bantuan barangan keperluan terutama makanan dan pakaian bagi persediaan masyarakat Orang Asli menghadapi musim tengkujuh.

Pada 18 November lalu, 70 kenderaan pacuan empat roda (4X4) memulakan perjalanan menuju ke Pos Belatim yang mengambil masa tujuh jam bagi jarak 60 kilometer sehala dengan keadaan jalan hutan yang berbukit dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Cabaran demi cabaran dihadapi peserta konvoi apabila ada kerosakan teknikal pada kenderaan namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjalanan. Kebanyakan konvoi berjaya mengharungi cabaran untuk sampai ke Pos Belatim pada jam 8 malam.

Pelbagai acara seperti sukaneka, sumbangan bantuan makanan, senamrobik zumba dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada Orang Asli diadakan hari berikutnya.

Pengurus Program, Khairul Badri Abdul Basit berkata, pada misi itu, penyertaan dari IMAM Response & Relief Team (IMARET) amat bermakna kepada masyarakat di situ kerana menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma selain aktiviti memberus gigi dengan betul serta memakaikan syampu kutu kepada anak Orang Asli.

“Di dalam Pos Belatim saja ada beberapa penempatan kelompok masyarakat Orang Asli dalam lingkungan beberapa kilometer. Beberapa pacuan empat roda ditugaskan untuk mengambil dan menghantar penduduk kampung berserta barang sumbangan ke semua kampung yang terbabit.

“Pada sebelah petang pula, acara diteruskan dengan senaman zumba serta penyampaian sumbangan makanan disampaikan kepada setiap kelompok masyarakat Orang Asli Pos Belatim.

“Selesai penyampaian sumbangan, rasa kesyukuran dirasai peserta misi kerana mendapat khabar gembira apabila satu keluarga Orang Asli memeluk agama Islam. Dengan disaksikan oleh Datuk Ustaz Syarhan Shafie dan peserta misi, keluarga terbabit mengucapkan dua kalimah syahadat,” katanya.

Penutup misi ditamatkan dengan persembahan tarian sewang masyarakat Orang Asli bersama semua peserta konvoi misi. Pada hari terakhir peserta misi ini berkampung di Pos Belatim dan meninggalkan kampung itu dengan seribu kenangan terindah.

Khairul Badri berkata, misi itu dijalankan sebagai pengisian program tahunan anjuran Kay Adventure 4X4 dengan kerjasama kelab 4X4 gabungan yang terbabit. Lokasi program Misi Bantuan Kemanusiaan ini dipilih berdasarkan pelbagai faktor seperti kesukaran mendapat bekalan makanan ketika menghadapi musim tengkujuh, membantu golongan masyarakat Orang Asli dan penduduk yang susah serta dapat memberi dan memelihara kesejahteraan hidup mereka.

“Semoga hasrat murni dan kerjasama ini dapat menanamkan rasa kesyukuran dan menyedarkan masyarakat akan tanggungjawab membantu sesama insan. Ia juga dapat mendedahkan masyarakat kepada sikap kesukarelawan dalam memberi bantuan kemanusiaan serta berkongsi ilmu dan pengalaman bagi membentuk jati diri dan sahsiah.

“Selain itu ia dapat memberi peluang kepada peserta untuk melakukan kerja kemanusiaan di samping memupuk sikap prihatin dalam diri setiap insan,” katanya.

Katanya, pelbagai program diatur bagi mendekati masyarakat untuk berbakti selain berpeluang merasai realiti kehidupan, hubungan sesama insan serta memastikan suasana demikian tidak luput dan hilang di ingatan pada masa akan datang.

Selain itu katanya, program terbabit juga akan dapat memupuk semangat kerjasama yang tinggi antara jabatan kerajaan, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab 4x4 yang terbabit bersama masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 4:54 AM