‘Star Wars: The Last Jedi’ akan mengkuti peristiwa selepas ‘Star Wars: The Force Awakens’ yang ditayangkan pada 2015. FOTO AP/Lucasfilm
Reuters

Los Angeles: Disney mengumumkan filem 'Star Wars' seterusnya akan bertajuk 'Star Wars: The Last Jedi' sekaligus mencetuskan spekulasi berleluasa dalam kalangan peminat mengenai jalan ceritanya.

Sekuel kedua ini berlangsung 30 tahun selepas trilogi asal dan akan mengikuti pengembaraan Luke Skywalker (Mark Hamill) dan Puteri Leia (Carrie Fisher).

Sebelum ini ia hanya dikenali sebagai ‘Episode VIII.’

"Kami mempunyai peminat paling hebat di galaksi ini. Bagi menghargai peminat, kita mahu mereka menjadi yang pertama mengetahui tajuk bab seterusnya dalam saga Skywalker iaitu 'Star Wars: The Last Jedi," kata Disney dalam satu kenyataan.

Disney berkata, Fisher merakam kesemua adegannya bagi filem ini sebelum meninggal dunia, Disember tahun lalu.

Filem ini akan diarah Rian Johnson dan ditayangkan pada 15 Disember.

Disney tidak mengeluarkan butiran jalan cerita untuk ‘Star Wars: The Last Jedi’ tetapi Johnson berkata, ia mengkuti peristiwa selepas ‘Star Wars: The Force Awakens’ yang ditayangkan pada 2015.

Dalam filem itu, Skywalker didedahkan sebagai Jedi terakhir dan menyembunyikan diri.

'Force Awakens' juga berakhir dengan Rey (Daisy Ridley) menemui kuasa tersembunyi, memenui Skywalker dan bersedia untuk memulakan latihan Jedi beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 4:21 AM