AHMAD Bashah menyampaikan sumbangan sempena sambutan Tahun Baru Cina. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Kerajaan negeri akan memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan susulan penahanan penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Muda/ Sik di rumahnya di Kampung Sungai Daun, dekat Yan, Rabu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri akan memberi kerjasama malah jabatan terbabit juga seharusnya berbuat sedemikian kepada SPRM bagi membantu menyelesaikan kes itu.

Menurutnya, penjawat awam di negeri ini juga diminta mengambil iktibar dengan penangkapan indiviu terbabit kerana tanggungjawab sebagai penjawat awam memudahkan rakyat bukan menyusahkan mereka.

"Saya tidak mahu kerana nila setitik rosak susu belanga akibat perbuatan penjawat awam mengambil rasuah.

"Kita (penjawat awam) terima jawatan itu, kita sepatutnya permudahkan dan jangan susahkan kontraktor kerana ia adalah amanah serta tanggungjawab," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baru Cina, di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, beliau berharap penjawat awam di negeri ini tidak terbabit dalam gejala rasuah dan jika berlaku juga akan menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan.

Terdahulu pada majlis itu, 800 penerima kaum Tionghua di negeri ini menerima sumbangan buah limau, wang angpau dan kuih muih sempena menyambut ketibaan Tahun Baru Cina.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penemuan wang tunai RM1.1 juta dalam bekas coklat dan fail plastik disembunyikan di dalam dinding kayu yang diubah suai di bilik tidur susulan penahanan penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Muda/ Sik di rumahnya di Kampung Sungai Daun, dekat Yan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 11:46 PM