PENIAGA kedai Makan, Hasnah Isa, 43 (tengah) bersam pekerja membersih ruang kedai selepas banjir di Kampung Bukit Genting, Pelong. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Dua sekolah masing-masing di Setiu dan Kemaman masih lagi ditutup untuk sesi persekolahan esok berikutan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Las, Setiu ditutup kerana masih dinaiki air manakala SK Pasir Gajah di Kemaman tidak dapat meneruskan sesi persekolahan kerana kerja pembersihan belum siap.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, penutupan dua sekolah berkenaan membabitkan 225 murid dan 36 guru.

Menurutnya, sesi persekolahan di 11 lagi sekolah di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang ditutup semalam dan hari ini kembali dibuka esok selepas kerja pembersihan kawasan sekolah dan peralatannya selesai dilakukan petang tadi.

"Kerja pembersihan sekolah dan peralatan seperti meja serta kerusi di 11 sekolah itu dilakukan secara gotong-royong membabitkan guru, murid, ibu bapa serta pegawai dan anggota pelbagai agensi kerajaan mulai awal pagi tadi dan siap sepenuhnya kira-kira 6 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 10:27 PM