GAMBAR menunjukkan keadaan feri yang terbakar.
AFP

Bari (Itali)

Pegawai Greece dan Itali berkata, sekurang-kurangnya lima penumpang maut dalam kejadian feri membawa kereta yang terbakar di Laut Adriatik ketika dalam perjalanan ke Greece dari Itali, awal Ahad lalu.

Empat mayat ditemui di laut sekitar kapal Norman Atlantic, sehari selepas mayat lelaki Greek berusia 62 tahun ditemui di laut yang bergelora itu.

Seramai 49 daripada 478 penumpang dan anak kapal yang menaiki feri itu dilihat turun dari kapal dagang Spirit of Pireus di Bari dengan menunjukkan tanda cedera ringan dan berbungkus dengan selimut.

Mereka menceritakan bagaimana kebakaran itu mencetuskan ketakutan dan panik manakala anak kapal nyata tidak bersedia menghadapinya.

Seorang penumpang berkata, dia menyangka saat mautnya sudah tiba selepas feri berkenaan mula dipenuhi asap tebal.

“Kami tidak tahu apa yang patut dilakukan. Anak kapal juga tidak tahu bagaimana untuk memindahkan penumpang.

“Bot penyelamat juga tidak dapat digunakan. Cuma satu berjaya diturunkan ke permukaan air tetapi tidak seorangpun anak kapal berada di situ untuk membantu kami,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari (8 malam waktu Malaysia) 60 orang - kebanyakannya anak kapal - masih berada di atas feri itu, hampir 36 jam selepas kebakaran bermula di dek kereta yang mengakibatkan kapal berkenaan semakin hanyut ke arah Albania.

Bagaimanapun, proses pemindahan berjaya dipercepatkan semalam dengan kehadiran kapal tentera laut kedua yang mampu menjadi tempat mendarat helikopter.

Persoalan kini timbul mengenai bagaimana kebakaran itu bermula dan kegagalan mengawalnya.

Pendakwa raya Bari Giuseppe Volpe berkata, siasatan akan dimulakan untuk memastikan sama ada ia berlaku akibat cuai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:04 AM