Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Bachok: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pelajar tahfiz yang dikhuatiri lemas di Pantai Kampung Nipah di sini, sejak Sabtu lalu diperluas sehingga lima kilometer hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, pihaknya sedang giat mencari mangsa di pesisir pantai.

"Operasi SAR hari ini sudah masuk hari ketiga dan kita perluaskan sehingga lima kilometer di kawasan sekitar bermula jam 7 pagi tadi.

"Setakat ini, operasi disertai 91 pegawai dan anggota penyelamat membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan kita akan tambah dalam masa terdekat.

"Operasi diteruskan sehingga mangsa ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tadi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat seorang daripada dua pelajar tahfiz itu ditemui 10.15 pagi semalam.

Mangsa ditemui ialah Muhammad Ilham Mohd Hafiz, 15, manakala usaha mencari rakannya, Mohd Aiman Che Hasyim, 15, masih dijalankan.

Muhammad Ilham dan Mohd Aiman dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Kampung Nipah bersama lima lagi rakan pada 3.30 petang. Lima rakan mereka sempat diselamatkan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 11:30 AM