GAMBAR yang dirakam pada 18 Januari lalu ini menunjukkan seorang lelaki cuba memadamkan kebakaran hutan di Pekanbaru, Riau. - Antara
Agensi

Jakarta: Dua daerah di Riau mengisytiharkan darurat bagi menangani kebakaran hutan di wilayah itu kerana bimbang ia mungkin menjadi tidak terkawal ketika cuaca semakin kering dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pegawai kerajaan di Jakarta memuji keputusan pihak berkuasa di Rokan Hulu dan Dumai itu bagi membolehkan kerajaan pusat segera menghantar bantuan.

Kegagalan bertindak pantas bagi menangani kebakaran hutan sebelum ini menyebabkan masalah itu menjadi bencana yang sukar dikawal.

Kebakaran hutan besar di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan sebahagian Asia Tenggara diliputi jerebu dan menyebabkan hubungan dengan Malaysia dan Singapura terjejas.

Ketika cuaca pada 2017 dijangka lebih kering berbanding tahun lalu, Indonesia tidak mahu mengambil risiko berulangnya bencana berkenaan.

Badan Nasional Pencegahan Bencana (BNPB) menggesa daerah berisiko tinggi di Sumatera dan Kalimantan mengikut jejak langkah Rokan Hulu dan Dumai sebelum musim kemarau bermula hujung bulan ini hingga Mac.

Jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, dengan mengisytiharkan darurat lebih awal, pihak berkuasa daerah boleh memohon bantuan kerajaan pusat untuk mengelak kebakaran kecil merebak menjadi tidak terkawal.

Menurutnya, pihaknya juga meningkatkan sistem amaran awal bagi mengesan titik panas di seluruh negara dan bersedia membuat hujan tiruan sebagai langkah pencegahan sebelum musim kemarau.

“Kami mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat lebih awal sebelum terlambat untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Ketua badan pengurusan bencana Rokan Hulu, Aceng Herdiana berkata, status darurat itu diisytiharkan selepas mengesan beberapa kebakaran hutan dan belukar dalam tempoh 10 hari lalu.

“Sebab itu pihak berkuasa tempatan mengambil keputusan perlunya mengisytiharkan status darurat,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 8:34 AM