ROSLI (tiga kanan) meluangkan masa melawat Alias Mamat, iaitu bapa Mohamad Izzat di kediamannya di Kampung Gelang Mas. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Polis Terengganu akan meneruskan operasi mencari murid Sekolah Kebangsaan Kampung Raja yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Bukit Keluang di sini sejak seminggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, walaupun operasidi laut dihentikan sejak Khamis, pencarian akan diteruskan di pesisir pantai bermula dari pantai Bukit Keluang hingga ke Kelantan dan Kuala Terengganu.

"Usaha pencarian di laut terpaksa dikurangkan kerana keadaan laut yang bergelora dan kita berdoa agar mangsa ditemui dalam masa terdekat," katanya ketika melawat keluarga mangsa di Kampung Gelam Mas, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Izzat Haikal Alias, 12, adalah anak kepada Sarjan Yuhaslinah Yunus, 51, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Pada lawatan itu, Rosli turut menyampaikan sumbangan daripada Kelab Polis IPD Besut.

Katanya, pihaknya akan menyampaikan sumbangan daripada Tabung Kebajikan, Sosial dan Sukan Kontinjen Terengganu bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Sebelum ini, mayat rakannya, Nik Muhamad Haikal Fitri Nik Shamsuddin, 13, dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 200 meter dari tempat kejadian lemas pada 8.20 pagi 15 Januari lalu.

Dalam kejadian 3 petang 14 Januari lalu, dua daripada enam pelajar dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 10:07 PM