Shaiful Shahrin Ahmad
Pauziam@hmetro.com.my

Bukit Merah: Identiti seorang lelaki yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 201.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, di sini, malam tadi, masih belum dikenalpasti.

Mangsa ialah pemandu Proton Persona dan bukannya Exora seperti dilaporkan sebelum ini manakala seorang lagi mangsa yang maut dalam kejadian itu dikenalpasti sebagai Mok Wai Kit, 29, iaitu pemandu Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan jam 8 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Persona, Perodua Myvi dan treler membawa muatan simen.

Menurutnya, identiti pemandu Proton Persona berkenaan yang terbakar bersama treler masih belum dapat dikenalpasti kerana dokumen pengenalan diri serta kenderaan musnah.

"Difahamkan sejurus kemalangan itu berlaku, mangsa (pemandu Persona) masih bernyawa dan cuba dibantu orang awam namun gagal apabila kenderaan itu mula terbakar dan meletup.

"Berdasarkan maklumat saksi awam, mangsa dipercayai berbangsa Melayu berusia lingkungan 30 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Katanya, pemandu treler berusia 29 tahun yang dilaporkan cedera dirawat di Hospital Parit Buntar dan akan diambil keterangan.

Dalam kemalangan itu, dua pemandu kereta maut manakala pemandu treler patah kaki selepas kenderaan berat yang dalam perjalanan menuju utara itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan.

Sementara itu, laman Twitter rasmi PLUS melaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, trafik masih sesak dan laluan kanan di kedua-dua arah masih ditutup bagi kerja pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 1:37 PM