London: Pendahulu Liga Perdana Chelsea mahu melupakan seketika kontroversi membabitkan penyerang Diego Costa apabila mereka melayan kunjungan Hull City di Stamford Bridge malam ini.

Costa tidak bermain ketika pasukannya menang 3-0 di Leicester City minggu lalu dan dia dilaporkan bertelagah dengan jurulatih kecergasan Julio Tous selain menerima tawaran lumayan kelab China Tianjin Quanjian.

Begitupun, secara rasminya dia sedang dalam proses memulihkan kecederaan belakang tetapi ketika Antonio Conte mengumumkan bahawa pemain itu sudah cergas, pengurus Chelsea itu juga meluahkan kebimbangan untuk memisahkan gandingan tiga penyerang Eden Hazard, Pedro Rodriguez serta Willian.

“Bukan mudah untuk membuat keputusan kerana saya memiliki empat atau lima pemain yang hebat di posisi depan,” kata Conte.

“Mereka sedang berada pada tahap terbaik dan faktor itu memberikan saya pilihan. Saya gembira dengan keadaan ini kerana anda mempunyai ramai pilihan dan mereka semuanya bagus.

“Saya kurang tidur kerana memikirkan soal untuk menghasilkan keputusan terbaik tetapi itu adalah tugas saya - memilih pemain terbaik untuk setiap perlawanan.

“Saya hanya boleh memilih tiga pemain dan jika ada yang terpaksa diketepikan, ia bukanlah satu hukuman sebaliknya saya perlu membuat pilihan berdasarkan perlawanan dan lawan yang akan kami hadapi. Itu sangat penting buat saya.”

Costa adalah penjaring terbanyak Chelsea dengan 14 gol peringkat liga tetapi ketiadaannya di Stadium King Power langsung tidak dirasai selepas pertahanan Marcos Alonso dan Pedro membantu kemenangan pasukan.

Ia kembali meletakkan Chelsea di landasan kemenangan selepas rekod 13 perlawanan tanpa kalah yang mereka nikmati dileburkan oleh kekalahan 0-2 di Tottenham Hotspur.

Tetapi ketika kekalahan itu masih lagi dirasai apatah lagi bakal bertemu Liverpool dan Arsenal selepas ini, Conte sedar perjuangan anak buahnya masih lagi jauh.

“Cabaran kami ialah untuk mengekalkan tumpuan dan tiga mata adalah amat penting untuk masa sekarang,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:13 AM