PEMAIN negara Hanis Onn (tiga kiri) meraikan gol penyamaan bersama rakan pasukan ketika menentang Itali di Stadium Tun Razak, semalam.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara mencipta sejarah apabila meraih tiket automatik ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia buat kali pertama selepas mara ke pentas final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia dengan menewaskan Itali menerusi penentuan penalti 2-1 di separuh akhir semalam.

Skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengheret perlawanan ke penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 tamat permainan sebenar.

Dua pasukan yang mara ke final Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia akan layak beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang dijadual berlangsung di Belgium pada Jun dan Afrika Selatan (Julai).

Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia adalah sebahagian daripada kempen kelayakan untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di London.

Pada perlawanan di Stadium Tun Razak semalam, menerusi satu serangan balas, Maria Garraffo yang tidak dikawal dalam kawasan D menguis ke penjuru kiri atas gawang gol lawan minit ke-10 sekali gus meletakkan Itali di depan.

Skuad negara bagaimanapun mempamerkan semangat juang tinggi untuk menjaringkan gol penyamaan menerusi Fazilla Sylvester Silin minit ke-13 berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Suku kedua menyaksikan Itali terus memberikan tekanan kepada skuad negara dan hasilnya mereka dihadiahkan pukulan sudut penalti yang kemudian disempurnakan Agata Wybieralska minit ke-18.

Malaysia sekali lagi mempamerkan semangat melawan apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Hanis Nadiah Onn minit ke-26 berpunca daripada hantaran cantik Fazilla.

Awal separuh masa kedua menyaksikan Wan Norfaiezah Mohd Saiuti hampir menambah gol ketiga skuad negara tetapi tolakannya sedikit tersasar selepas menerima hantaran cantik Nurul Nabihah Mansur minit ke-32.

Minit ke-37 Itali hampir kembali di depan selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti, namun kapten pasukan Siti Noor Amarina Ruhani yang berada di dalam gawang gol berjaya menampan bola.

Itali berpeluang untuk meraih gol kemenangan pada minit akhir perlawanan apabila memperoleh pukulan sudut penalti, namun disia-siakan begitu saja sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Malaysia akan bertemu Ireland pada aksi final hari ini selepas lawan mereka itu menewaskan Wales 2-0 pada satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:11 AM