PENEMPATAN baru berhampiran tebing Sungai Ciliwung di Jakarta.
ORANG ramai bermandi-manda di Sungai Ciliwung.

Sekumpulan kanak-kanak berkumpul di tebing Sungai Ciliwung yang terletak di Jakarta, ibu negara Indonesia. Ada yang duduk termenung dan ada yang menebar jala untuk menangkap ikan.

Pemandangan seperti itu tidak wujud beberapa tahun lalu kerana sungai itu dahulunya sangat tercemar dengan sampah-sarap yang memenuhi permukaan airnya.

Bagaimanapun, pencemaran yang sudah menyesakkan bandar raya yang diduduki 10 juta penduduk itu memperoleh nafas baru selepas kerajaan tempatan memulakan program mengorek dan memperbesarkan sungai berkenaan pada 2014.

“Banyak yang sudah dilakukan, sungai ini pernah menjadi sangat kotor,” kata ketua agensi alam sekitar Jakarta, Isnawa Adji.

Sungai itu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kebanyakan penduduk di bandar raya itu terutama mereka yang tinggal di kawasan setinggan.

Sudah menjadi kebiasaan melihat orang dewasa dan kanak-kanak berenang di sungai tercemar itu untuk menyejukkan badan dan menyusuri menggunakan sampan kayu.

Selain membersihkan sampah di 14 sungai, kerajaan juga menjalankan program pemindahan dengan merobohkan kawasan setinggan di sepanjang sungai berkenaan bagi membolehkan ia dibesarkan.

Program itu bertujuan mengurangkan risiko banjir yang melanda Jakarta setiap tahun pada musim tengkujuh.

Namun, program itu mencetuskan kontroversi apabila aktivis menuduh kerajaan cuba mengusir penduduk kawasan berkenaan.

Menurut Isnawa, kebanyakan sungai utama kini bebas daripada sampah- sarap dan pihaknya memberi tumpuan untuk membersihkan 1,000 saluran air yang lebih kecil.

Saluran sempit itu biasanya melalui kawasan setinggan dan penduduk membuang sampah ke dalamnya sejak beberapa dekad lalu kerana tiada sistem pelupusan sampah di kawasan berkenaan.

Aktivis memuji usaha kerajaan dengan berkata kehidupan penduduk di kawasan itu bertambah baik dan menggesa pihak berkuasa berusaha menghalang orang ramai membuang sampah ke dalam sungai.

“Kita perlu tegas menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang membuang sampah ke dalam sungai,” kata Abdul Kodir, pengasas kumpulan Pencinta Masyarakat Ciliwung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:04 AM