PEMINAT drama Descendants Of The Sun teruja selepas menjangka penggambaran musim kedua bermula.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Pertemuan semula Song Joong Ki dan Song Hye Kyo memang dinanti-nantikan dan membuatkan peminat teruja selepas timbul khabar angin mengenai drama Descendants Of The Sun akan masuk musim kedua.

Khabar angin itu mula bertebaran selepas Song Joong Ki memuat naik sekeping foto kontroversi ke laman sosial Instagram miliknya. Aktor utama Descendants Of The Sun itu berkongsi foto dia memakai seragam tentera yang pernah disarungkan ketika berlakon dalam drama itu.

Foto itu berjaya meraih lebih 150,000 ‘like’, sekali gus menarik perhatian peminat yang memenuhi laman sosial Song Joong Ki dengan komen yang pelbagai. Ada peminat meluahkan hasrat untuk melihat pasangan Song Song itu kembali ke televisyen untuk kali kedua.

Malah ada juga yang memuji Song Joong Ki kelihatan sangat kacak berpakaian seragam tentera. Mereka berharap musim kedua akan dihasilkan kerana mula merindui Big Boss.

Menurut laporan awal Korea Portal, Song Joong Ki dan Song Hye Kyo akan dilihat bekerjasama untuk musim kedua drama bersiri itu. Ada dakwaan mengatakan pasangan Song Song itu memainkan watak pasangan suami isteri dalam sekuel terbaharu.

Walaupun laporan itu masih samar, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak agensi produksi atau pengurusan aktor itu.

Sementara itu, peminat Song Song terpaksa menunggu dengan penuh sabar, sama ada benar atau tidak Song Song akan kembali. Sebelum ini, Song Song dikatakan sudah berkahwin secara rahsia selepas menjalani penggambaran drama itu, tahun lalu.

Namun pihak mewakili mereka menyangkalnya dan mengatakan, ia hanya spekulasi dan khabar angin.

“Mereka menafikan ada hubungan istimewa buat masa ini kecuali sekadar pasangan pelakon dan sahabat sahaja. Mereka juga nafi mempunyai kehidupan cinta yang berbeza,” kata wakil agensi.

Dalam perkembangan lain, Song Song diumumkan sebagai Couple Of The Year dalam Anugerah Kdrama CARI, anjuran Kelab Pengkritik dan Peminat Korea (KMania) Malaysia, minggu lalu.

Gandingan mereka dalam Descendants Of The Sun menambat hati peminat hingga menumpaskan pesaing lain. Walaupun gagal menang kategori utama, drama nombor satu Korea yang disiarkan di 27 negara itu berjaya menang empat anugerah.

Sementara itu, drama Signal dinobatkan Drama of The Year yang dijalankan secara dalam talian. Ia juga menang enam daripada lapan pencalonan dalam 12 anugerah bagi kategori terbaik.

Pemilihan membabitkan drama daripada tiga penyiar utama iaitu KBS, SBS, MBC dan saluran kabel TVN, JTBC dan OCN.

Drama disiarkan menerusi saluran kabel TVN sebanyak 16 episod itu berjaya ketepikan pesaingnya seperti Age Of Youth, Beautiful Mind, Decendants Of The Sun, Shopping King Louie, Jealousy Incarnate, Another Oh Hae Young, Reply 1988 dan The Good Wife.

Signal juga berjaya memenangi kategori drama pilihan, mengalahkan Decendants Of The Sun, Jealousy Incarnate, Another Oh Hae Young dan W-Two Worlds.

Drama Decendants Of The Sun dan Jealousy Incarnate masing-masing berjaya mengaut Anugerah Popular terbanyak bagi tahun 2016.

Signal yang dibintangi Jo Jin Woong, Lee Je Hoon, Kim Hye Soo, Jang Hyun Sung dan Jung Hae Kyun dinobatkan Drama of The Year, selain Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Aktor Terbaik (Jo Jin Woong), Barisan Pelakon Terbaik dan Skor Asal Terbaik.

Drama Signal kisah penyiasatan yang mengambil inspirasi daripada kes-kes jenayah popular di Korea Selatan.

Bagi Anugerah Barisan Pelakon Terbaik, Signal turut berkongsi kedudukan dengan drama lain, Reply 1988 yang menampilkan Park Bo Gum, Hye Ri, Sung Dong Il, Ryu Jun Hyeol, Choi Moo sung, Kim Sung Kyun, Ra Mi Ran, Ryu Hye Young.

Lakonan hebat Jeon Do Yeon (The Good Wife) melayakkannya menang Aktres Terbaik.

Untuk kategori Popular menjadi milik drama Decendants Of The Sun dan Jealousy Incarnate manakala kategori Drama Panjang Terbaik dimenangi Six Flying Dragons.

Aktres Popular dimenangi Gong Hya Jin kali keempat sejak Anugerah KDrama Cari diwujudkan manakala Aktor Popular milik Lee Jun Ki melalui lakonannya dalam Moon Lovers: Scarlett sebagai Putera Wang So.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:03 AM