ASALNYA ingin kuruskan badan, kini Barsing ketuai program pelbagai bangsa dan usia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Apabila berat badan mencecah 100 kilogram, Matthew Barsing mula menyedari dia harus melakukan sesuatu supaya kekal cergas dan sihat. Lantaran, lelaki berusia 46 tahun ini bertaruh dengan dua lagi rakan yang berdepan masalah sama untuk mendapatkan berat badan yang ideal, pada 2012.

Sejak itu, rakyat Australia ini mula berlari di sekitar taman Menara Berkembar KLCC sekali gus mencetuskan ilham baginya mengasaskan komuniti larian, KLCC Runners Group.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Permulaannya, saya hanya merancang untuk bercuti di Malaysia selama 10 hari dan balik ke Australia sekitar Februari 2001.

Namun saya tidak pernah menyangka akan menetap di negara ini selepas perancangan percutian 10 hari itu, sekali gus memulakan hidup baru di Kuala Lumpur. Keputusan untuk terus berada di sini dibuat selepas saya berasakan kehidupan di Malaysia sangat menarik, tambahan pula, kemesraan penduduk tempatan, keunikan budaya dan adat serta kepelbagaian makanan enak. Selepas bertemu bakal isteri pada Julai 2001, saya memeluk Islam dan mengahwininya pada 2003. Kini, saya memiliki tiga anak, termasuk seorang daripada perkahwinan pertama.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini?

Australia berdekatan dengan rantau Asia Tenggara, saya langsung tidak tahu mengenai kebudayaan masyarakat Asia. Ini membuatkan saya merantau untuk melihat sendiri keunikan itu. Saya mempunyai teman yang tinggal di Malaysia, dia sering mempelawa saya untuk berkunjung ke negara ini.

Oleh kerana saya tidak tahu apa-apa mengenai Malaysia, saya datang ke sini. Nyata, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri jika dibandingkan dengan dua negara jiran terdekat, Singapura dan Thailand. Malaysia masih mengekalkan warisan dan sejarah, ia lebih menarik bagi saya.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Saya mengakui saya tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang berada di sini. Walaupun Malaysia dihuni pelbagai kaum dan etnik, saya tidak pernah berasakan wujudnya perbezaan antara masyarakat.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia yang ingin dikongsikan?

Sebelum memulakan komuniti KLCC Runners Group, saya berkhidmat dengan agensi kerajaan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selaku Ketua Pelaburan Asing selama lima tahun. Bertanggungjawab sebagai ‘wajah’ Malaysia untuk mempromosikan pelaburan asing di negara ini, memberi pengalaman yang sangat berharga buat saya.

Pada 2012, saya mula mengambil berat mengenai kesihatan dan mula berlari di sekitar Menara Berkembar KLCC bersama dua rakan. Pada Januari 2016, saya mengambil cabaran untuk menyertai ‘half-marathon’ anjuran jenama sukan gergasi dan mencipta rekod peribadi. Ia mencetus ilham buat saya menubuhkan komuniti KLCC Runners Group.

Penyertaan percuma terbuka kepada segenap lapisan masyarakat, program larian ini dilakukan setiap Ahad seiring dengan Kuala Lumpur Car Free Morning. Terbaru, kita menganjurkan larian pada Ahad lalu dan seramai 600 peserta memberi sokongan terhadap program ini.

Selain mempromosikan gaya hidup sihat, kita juga mendidik masyarakat menerusi klinik atau bengkel sempena program larian komuniti. Bagi saya, ini adalah sumbangan yang terdaya saya lakukan untuk rakyat Malaysia.

5. Lokasi kegemaran anda?

Pastinya, Menara Berkembar KLCC. Setiap pagi saya akan berlari di sekitar taman KLCC dan ini adalah rutin saya sejak lima tahun yang lalu.

6. Makanan tempatan pilihan anda?

Kari laksa, nasi bujari dan rendang daging.

7. Malaysia pada kaca mata anda?

Menjadi wakil Malaysia di seluruh dunia untuk menarik pelaburan asing memberi pendedahan lebih luas kepada saya untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat. Keunikan budaya, peluang perniagaan, fasiliti pelaburan disediakan kerajaan dan polisi kerajaan menjadi faktor tarikan syarikat asing ke Malaysia. Pastinya wujud cabaran tetapi saya yakin kerajaan Malaysia berupaya menanganikan sebarang isu yang timbul.

PROFIL:

Nama: Matthew Barsing

Lahir: 1 Mac 1970

Asal: Gold Coast, Australia

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Runners Group

Status: Berkahwin

Kediaman: Damansara Perdana, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:00 AM