IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Bukit Merah: Dua maut termasuk seorang rentung manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan treler dan dua kenderaan di KM201.1 lebuh raya PLUS, di sini, malam tadi.

Kemalangan ngeri ini berlaku berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Bukit Merah.

Treler yang membawa muatan simen itu yang dalam perjalanan ke utara disyaki hilang kawalan sebelum terbabas, langgar penghadang lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan, dalam kejadian kira-kira 8 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata pihaknya menerima maklumat itu pada 8.15 malam.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mereka mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu treler, Proton Exora dan Perodua Myvi.

Menurutnya, Proton Exora yang dalam perjalanan ke selatan dan dipercayai dipandu lelaki Melayu rempuh sisi kiri lori yang masuk dalam laluannya sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

"Myvi yang dipandu lelaki Cina itu pula juga dari arah sama dengan Exora. Pemandu Myvi itu turut gagal mengelak dan melanggar treler itu. Namun Myvi itu tidak terbakar.

"Pemandu Exora gagal keluar akibat tersepit dan rentung manakala pemandu Myvi turut tersepit.

“Tapi, sebaik dikeluarkan oleh bomba, paramedik Klinik Kesihatan Gunung Semanggol mengesahkan pemandu Myvi gagal diselamatkan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Lelaki Melayu yang juga pemandu treler pula keluar dari kenderaannya dan patah kaki. Dia dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Taufiq berkata, berdasarkan maklumat saksi, pemandu Exora itu masih hidup sejurus selepas kenderaannya merempuh treler itu.

Bagaimanapun, katanya, saksi terbabit cuba membantu namun gagal kerana mangsa tersepit.

Sehingga 10.45 malam tadi, kerja pembersihan di lokasi kemalangan masih dijalankan termasuk membersihkan simen yang bertaburan dan sisa kebakaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengenalpasti mangsa yang rentung.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 12:22 AM