MANGSA,Yeoh Hok Beng meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang lelaki warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda Mitsubishi Triton di Jalan Kanchut, di sini, ketika melintas jalan malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Yeoh Hok Beng, 70, yang baru selesai menghadiri jamuan makan malam di sebuah restoran sempena meraikan Tahun Baru Cina melintas jalan bersama rakan-rakannya untuk ke kereta mereka yang diletak di seberang jalan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, bagaimanapun keretaMitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun datang dari arah Stadium Darulaman menghala ke Mergong, namun sebaik tiba di lokasi kejadian dia gagal menggelak sebelum melanggar mangsa yang melambung.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu kereta terbabit pula kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 12:57 PM