Anuar terpaksa batalkan konsert. FOTO fail Harian Metro
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Konsert Anuar Zain & You Live Series By The Lake yang sepatutnya berlangsung malam ini di Panggung Anniversary, di sini, terpaksa dibatalkan apabila penyanyi itu mengalami masalah kesihatan hingga menjejaskan suaranya.

Anuar, 47, berkata, dia terpaksa akur apabila doktor memaklumkan dia terpaksa berehat kerana kehilangan suara. 

"Saya memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit di atas situasi yang tidak dapat diduga ini. Ini adalah keputusan yang amat sukar dilakukan.

"Diharap anda semua dapat mendoakan kesihatan saya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Konsert yang dijadual berlangsung selama 90 minit itu adalah konsert istimewanya selepas sudah lama tidak muncul dengan konsert solo. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Yonder Music,  Adam Kidrom melahirkan rasa sedih atas pembatalan konsert berkenaan.

"Pihak kami difahamkan Anuar kehilangan suaranya hari ini dan dinasihatkan supaya tidak meneruskan konsert seperti yang dirancang. 

"Biarpun ia berita yang mendukacitakan pihak kami dan peminat, namun kami perlu mengutamakan kesihatan beliau. Semoga Anuar cempat sembuh," katanya. 

Menurutnya, sebarang maklumat terutama mengenai tiket akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 7:46 AM