PEMAIN Malaysia, Surizan Awang Noh (kanan) mengasak pemain dari Thailand, Tikhamporn Tongkham.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Thailand mencetuskan rasa cemas buat pasukan wanita negara sebelum skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menang 3-0 pada aksi suku akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia malam tadi.

Susulan kejayaan itu, skuad negara akan membuat perhitungan dengan Itali pada aksi separuh akhir esok.

Suku pertama menyaksikan skuad negara lebih menguasai permainan apabila meraih sekurang-kurangnya dua peluang terbaik, namun kedua-duanya disia-siakan begitu saja.

Peluang terbaik hadir menerusi Noraslinda Said yang membuat pukulan kilas pada minit ke-12, namun sedikit tersasar.

Suku kedua pula menyaksikan Thailand memberikan tekanan tetapi benteng pertahanan skuad negara tetap mampu menyerap asakan lawan.

Thailand memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-30, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Kegagalan menghasilkan gol pada separuh masa pertama menyaksikan skuad negara sedikit goyah dan beraksi dalam tekanan hingga memasuki separuh masa kedua.

Malaysia memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-35, namun sama seperti Thailand mereka juga gagal memanfaatkan peluang terbaik itu.

Kapten Siti Noor Amarina Ruhani akhirnya melegakan kem negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-38 untuk gol pertama.

Malaysia berpeluang menambah jaringan tetapi dua pukulan sudut penalti diraih selepas itu tidak menghasilkan gol.

Pada minit ke-49, skuad negara sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti, tetapi set piece dilakukan anak buah Dhaarma masih tidak menjadi.

Norazlin Sumantri menambah gol kedua skuad negara pada minit ke-56 selepas memperoleh peluang terbaik dalam kawasan D Thailand.

Nuraini Abdul Rashid melengkapkan kemenangan Malaysia dengan meraih gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 12:01 PM