Warga emas dipenjara 12 tahun dan 15 sebatan kerana merogol cucu perempuan berusia 10 tahun. FOTO Ramli Ibrahim
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


Gua Musang: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol cucu perempuannya, pada 2014.

Hukuman itu diputuskan Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi selepas tertuduh yang berusia 63 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mohd Rosly juga memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Ogos 2014.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol cucu perempuannya yang berusia 10 tahun (ketika kejadian) di kebun sayur, Kampung Star, di sini antara jam 4.30 petang hingga 5 petang, 16 Julai 2014.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam pada itu, seorang warga Myanmar, Si Tha Lwin, 22, dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, 6 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Si didakwa menyebabkan kematian seorang warga Myanmar, Win Ko Ko, 22, di bilik kongsi Kebun Sayur Pek Ong and Sons, Lojing Gua Musang antara jam 12 hingga 12.30 tengah malam, 6 Januari 2016.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati sekiranya sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 9:38 PM