Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menahan enam lelaki dipercayai terbabit dalam dua kes berasingan membabitkan senjata api di Besut dan Kuala Terengganu.

Enam suspek masing-masing berusia 30 hingga 40-an ditahan pada 11 Januari dan 16 Januari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, kes pertama membabitkan ugutan jenayah dan khianat, September tahun lalu.

"Suspek berusia 29 tahun bertindak memecah cermin dan mengugut untuk menembak bekas isterinya berusia 18 tahun bersama anak perempuan dan rakan lelaki kepada bekas isterinya berusia 24 tahun dalam kejadian di Jertih, Besut dalam kejadian bermotifkan cemburu.

"Susulan penahanannya, kita menahan dua lagi rakannya yang dipercayai menyimpan sabit dan pistol jenis revolver .38.

"Bagi kes kedua, tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit kes samun bersenjata api pada Disember tahun lalu di sebuah stesen minyak dan hadapan sebuah bank di Kuala Terengganu," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK Terengganu.

Rosli berkata, pihaknya turut merampas pistol revolver .38 dan 10 biji peluru kaliber .38.

Katanya, semua suspek kini direman mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 dan 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 2:30 PM
SENJATA api yang dirampas. FOTO Syafiq Ambak