Jakarta : Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofisik (BMKG) Indonesia memberikan peta ramalan cuaca sepanjang laluan penerbangan sebagai panduan sebelum juruterbang berlepas bagi menghindari gangguan dan risiko.

"Sebelum juruterbang berangkat, dia sudah dibekalkan dokumen penerbangan sebelum pesawat berlepas untuk dijadikan 'safe plan'.

"Di dalamnya juga ada ramalan cuaca di laluan yang akan dilalui oleh juruterbang," kata Ketua BMKG, Andi Eka Sakya pada sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Andi berkata, peta cuaca yang diberikan kepada juruterbang itu antaranya mempunyai butiran keadaan awan dan pertumbuhan awan dari tempat berlepas sehingga ke destinasi pendaratan.

"Selain itu, mereka juga diberikan laluan pesawat yang akan digunakan untuk membuat keputusan, justifikasi dan kawasan yang selesa untuk dilalui," katanya.

Menurutnya, ketika pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia terbang semalam, paparan satelit cuaca pada waktu itu menunjukkan warna kuning.

"Pada saat itu hujan rintik dan memang ada awan kumulunimbus ketika itu. Hal itu biasa kerana dalam 30 tahun kebelakangan ini, hujan lebat berlaku di kawasan Kalimantan dan Belitung antara Disember sehingga Januari," katanya.

Menurutnya, awan kumulunimbus adalah sejenis awan yang harus dihindari oleh setiap juruterbang pesawat kerana tiada siapa tahu apa yang ada di dalam awan jenis tebal itu.

"Kemungkinan pesawat berkenaan hilang di dalam awan itu. Kita tidak boleh ramalkan dulu, tetapi di dalam awan itu bukan saja petir yang boleh mengganggu penerbangan, ada juga tekanan udara dan sebagainya.

“Kebiasaannya juruterbang faham. Jika berdepan awan kumulunimbus, ia perlu dihindari," katanya. - Detiknews

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 4:31 PM