Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Kakitangan kementerian ditahan reman enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah RM468,000 daripada syarikat pemborong untuk mendapatkan kuota beras bersubsidi ST15.

Kes membabitkan individu terbabit yang juga pembantu penguatkuasa adalah susulan daripada penahanan reman terhadap Ketua Setiausaha (KSU) kementerian sebelum ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majisret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman sehingga 24 Januari.

Lelaki berusia 57 tahun itu dibawa dari pejabatnya pada 10 pagi ke ibu pejabat SPRM untuk diambil keterangan sebelum ditahan pada 9.20 malam.

Penggeledahan di pejabatnya semalam turut menemui wang tunai RM10,113 di dalam peti besi manakala, sebanyak RM51,100 di dalam keretanya.

Suspek dikatakan menerima rasuah pada penghujung 2015 secara berperingkat.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pada 9.15 pagi memakai baju lokap warna jingga manakala, kedua-kedua tangannya yang bergari dilihat menutup muka.

Pada 4 Januari lalu, SPRM menahan KSU kementerian itu di kediamannya di Subang Jaya, Selangor kira-kira 8 pagi manakala, kedua-dua anak lelakinya ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika diambil keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 11:13 AM
SUSPEK dibawa oleh pegawai SPRM untuk mohon perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Abd Rahim Rahmat