Melaka: Sebuah francais kedai kopi antarabangsa kerugian RM7,000 selepas premis di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini, disamun dua lelaki bersenjatakan parang malam tadi.

Dipercayai dalam kejadian kira-kira 12.15 malam itu, berlaku litar pintas di tingkat bawah premis berkenaan sebelum penjenayah masuk ke dalam premis beberapa minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, ketika kejadian terdapat enam pekerja dan beberapa pelanggan di dalam premis itu.

"Seorang daripada penjenayah berkenaan masuk ke dalam kaunter serta mengacukan parang kepada pekerja premis dan mengarahkannya membuka peti simpanan wang.

"Selepas merampas wang tunai RM7,000 di dalam peti itu penjenayah melarikan diri dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 2:54 PM