PLUS memberi rebat kepada pengguna pada 27 dan 30 Januari serta 3 dan 4 Februari. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta atau kenderaan dua gandar) yang membayar tol secara elektronik berpeluang menikmati rebat tol 50 peratus untuk perjalanan selepas tengah malam di dua rangkaian lebuh raya PLUS sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata rebat itu akan diberi kepada pengguna rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) pada 27 dan 30 Januari serta pada 3 dan 4 Februari.

Rebat diberikan untuk perjalanan mulai 12 tengah malam sehingga 6 pagi pada hari-hari ditetapkan itu.

Beliau berkata, pada tarikh itu, pengguna sistem bayaran elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, namun rebat dimasukkan ke dalam kad Touch 'n Go atau kad PLUSMiles masing-masing apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh empat bulan iaitu antara 15 Februari 2017 sehingga 14 Mei 2017 di pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

“Kami berharap strategi ini dapat menarik lebih ramai untuk bergerak pada waktu malam dan secara tidak langsung membantu melancarkan perjalanan orang ramai pada waktu puncak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 6:27 PM