Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Parit Buntar : Dua mayat lelaki ditemui di dua lokasi berasingan di sini, hari ini.

Mayat pertama yang lengkap berpakaian sekolah ditemui penduduk pada 7.30 pagi di Parit 1, Kampung Kedah, di sini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Khairulnizam Mohd Radzi, 14, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Tahzib, Titi Serong.

Motosikal Yamaha Nouvo LC turut ditemui berhampiran mayat mangsa dan mangsa dipercayai terbabas sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Sementara itu, dalam kes berasingan satu lagi mayat lelaki ditemui tertiarap di dalam parit di pinggir jalan utama di Kampung Sungai Kota di sini, 6.40 pagi tadi.

Mangsa, Zulkifly Zakariya ,19, beralamat di Tanjung Berembang, Nibong Tebal, Pulau Pinang, ditemui penduduk berhampiran yang melalui jalan berkenaan.

Motosikal Yamaha 125Z turut ditemui berhampiran mayat mangsa.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, sumber polis mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 12:02 PM
PENDUDUK membantu polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui di Kampung Sungai, Kota,Parit Buntar. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MAYAT pelajar ditemui penduduk di Parit 1 Kampung Kedah, Parit Buntar. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi