Zulkafli (tengah) memeriksa sebahagian tong minyak petrol yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 960 liter petrol dan sebuah Proton Saga Aeroback dalam dua serbuan berasingan, di sini, hari ini.

Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, serbuan dibuat selepas Unit Risikan Marin (URM) melakukan intipan di dua pangkalan haram.

"Dalam serbuan pertama di pangkalan haram Tualang pada 6.45 pagi, kita berjaya merampas 18 tong berisi 540 liter petrol bernilai RM1,134 menerusi serbuan darat.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat beberapa lelaki sedang sedang memunggah petrol ke dalam bot dan sempat melarikan diri ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran kami," katanya ketika ditemui media di Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di pangkalan haram Pok Leh, pihaknya merampas 14 tong berisi 420 liter petrol bernilai RM882.

Katanya, serbuan itu dilakukan melalui Sungai Golok sejurus mendapati sebuah kereta tidak berkunci ditinggalkan di sebuah stor dekat pangkalan haram itu.

"Hasil pemeriksaan terdapat 14 tong berisi petrol di tempat duduk belakang dan but kereta.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM7,016 termasuk kereta. Bagi kes pertama, kita jalankan siasatan mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967," katanya.

Untuk kes kedua, disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 2:42 PM