TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Suami isteri yang juga ibu dan bapa tiri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka berusia sembilan tahun dalam kejadian berasingan pada 8 dan 9 Januari lalu.

Tertuduh, Sri Anum Hassan, 26, dan suaminya, Muhd Aideel Fadros Rosli, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan pertuduhan itu, Sri Anum didakwa menganiayai anak perempuannya yang berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal pada 3 petang, 8 Januari lalu.

Pada pertuduhan berasingan, Muhd Aideel Fadros yang juga peniaga kek dalam talian berdepan tuduhan sama dengan melakukannya pada 11 malam, 9 Januari lalu.

Mereka didakwa melakukannya di rumah di Jalan Bukit Kempas 1/7, Taman Bukit Kempas di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih 20,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan bersalah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir,

manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Ahmad Yusri Fuad.

Terdahulu mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 2:14 PM