FERI Norman Atlantic yang sedang terbakar, semalam.
Agensi

Athens: Ratusan penumpang terperangkap di dalam feri yang terbakar di pesisiran pantai pulau Corfu di Greece, semalam.

Kebakaran bermula di dek bawah feri yang membawa bendera Itali, Norman Atlantic, yang dalam perjalanan dari pelabuhan Patras di Greece ke Acona, Itali, sekitar jam 6 pagi (waktu tempatan).

Pihak berkuasa mengesahkan 423 penumpang dan 55 anak kapal berada di dalam kapal itu, malah sehingga malam tadi (waktu Malaysia) lebih separuh masih terperangkap di dalam feri berkenaan berikutan usaha menyelamat terjejas akibat cuaca buruk dan ombak besar.

Ada penumpang yang terperangkap di dek atas lebih enam jam kerana bot penyelamat tidak dapat diturunkan disebabkan laut bergelora.

Penumpang Greece Sofoklis Styliaras yang terperangkap beberapa jam memberitahu rangkaian televisyen Mega: “Api masih marak. Ketika berada di dek bawah iaitu tempat menyimpan bot penyelamat, kami dapat rasa kasut kami cair akibat suhu tinggi.

“Kami tidak boleh ke mana-mana. Dek bawah langsung tidak boleh dimasuki kerana terlalu panas,” katanya.

Seorang lagi penumpang memberitahu Greek TV: “Mereka cuba menurunkan bot penyelamat, tetapi tidak semua kami dapat masuk.

“Keadaan huru-hara kerana gelap dan bahagian bawah kapal terbakar.

“Kami kini di anjung dan dapat melihat bot semakin menghampiri.

“Kami sudah membuka beberapa kotak dan mengambil jaket keselamatan dalam usaha menyelamatkan diri,” katanya.

Seorang lagi dilaporkan merayu bantuan segera dihantar.

“Tolonglah kami, kami tidak boleh meninggalkan kapal ini. Ada bot penyelamat, namun kami terperangkap,” katanya.

Menteri Perdagangan Marin Miltiadis Varvitsiotis berkata, bot penyelamat membawa 150 penumpang diturunkan ke laut, namun hanya 35 berjaya dipindahkan ke feri berhampiran disebabkan keadaan cuaca buruk.

Penumpang lain masih berada di atas kapal.

“Operasi menyelamat ini amat sukar dan kompleks. Tahap penglihatan rendah dan cuaca terlalu buruk.

“Kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Itali dan tentera laut Greece. Kami komited memastikan semua orang di atas kapal itu diselamatkan dan mahu memastikan tiada sesiapa tercicir,” katanya.

Feri yang turut membawa 222 kenderaan itu tidak berada dalam bahaya untuk karam dan terletak di kedudukan 42 batu nautika ke barat laut Corfu, berhampiran kota Vlora di Albania.

Bagaimanapun kapal itu semakin hanyut ke arah perairan Itali.

Beberapa letupan berlaku di dek bawah dan ada juga laporan mengatakan anggota penyelamat menangis sambil mereka berusaha membantu mangsa.

Pihak berkuasa berkata, setakat ini tiada laporan kecederaan.

Pegawai kerajaan Greece berkata, Perdana Menteri Antonis Samaras sentiasa berkomunikasi dengan rakan sejawatnya dari Itali, Matteo Renzi bagi menyelaraskan operasi berkenaan.

Jurucakap pengawal pantai Itali Marco Di Milla berkata, operasi itu mungkin memakan masa beberapa jam.

Katanya, Greece mengetuai operasi menyelamat dan pihak berkuasa negara itu yang bertanggungjawab memutuskan ke mana penumpang serta anak kapal terselamat perlu dibawa.

Pihak berkuasa Greece menghantar lima helikopter dan pesawat pengangkut tentera untuk membantu operasi.

Itali juga menghantar bantuan termasuk bot pengawal pantai, helikopter tentera laut dan pesawat tentera udara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:11 AM